POLITIK

Khuzzan tekad selesai isu banjir kilat di Semerah jika diberi mandat

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Khuzzan Abu Bakar bertekad menjadikan usaha menangani masalah banjir kilat sebagai antara keutamaan utama sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Menurut beliau, pembinaan pintu air utama di Parit Dobi perlu diberi perhatian segera bagi mengurangkan risiko banjir yang kerap berlaku di kawasan Taman Pantai dan Jalan Masjid, terutama ketika fenomena air pasang besar serta hujan lebat.

“Parit Dobi memainkan peranan penting sebagai laluan utama aliran air yang melibatkan tiga kawasan DUN iaitu Senggarang, Penggaram dan Semerah.

“Saya pernah membangkitkan perkara ini sebelum ini dan akan terus memperjuangkannya kerana ia melibatkan kesejahteraan serta keselamatan penduduk yang sering terkesan dengan masalah banjir kilat,” katanya di sini hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu turut menyifatkan sambutan masyarakat sepanjang tempoh awal kempen sebagai amat menggalakkan dengan ramai pengundi menunjukkan kefahaman terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, antara perkara yang sering dibangkitkan oleh rakyat ialah pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta isu berkaitan subsidi diesel dan petrol.

“Setakat ini maklum balas masyarakat sangat baik terhadap inisiatif kerajaan Persekutuan.

“Beberapa perkara yang dibangkitkan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan sekiranya diberi mandat, saya akan membawa perkara tersebut untuk mendapat perhatian serta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Mengulas landskap politik semasa, Khuzzan berkata, pengundi kini semakin memahami perbezaan peranan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan walaupun PH dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara berasingan pada PRN Johor.

Beliau berkata, situasi tersebut memerlukan penjelasan berterusan kepada rakyat memandangkan politik negara kini berada dalam fasa yang lebih matang dan dinamik.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan gerak kerja kempen yang sedang dijalankan kini berada pada tahap maksimum, selain pengalaman sebagai bekas ADUN Semerah membantunya memahami keperluan serta aspirasi penduduk setempat.

Selain usaha menyelesaikan isu banjir, Khuzzan berkata, beliau turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem perparitan di kawasan luar bandar bagi mengelakkan masalah air bertakung yang boleh menjejaskan sektor pertanian.

Beliau juga berhasrat meneruskan cadangan pembinaan mini kompleks sukan di Taman Seri Sulong bagi menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih baik kepada penduduk, selain menarik pelaburan industri baharu untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Beliau turut berkata, usaha memperkasa ekonomi peniaga kecil melalui peluang pembiayaan dan pengurusan perniagaan yang lebih tersusun turut menjadi antara agenda utama sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Semerah.

Untuk rekod, DUN Semerah mempunyai lebih 47,300 pengundi dengan kira-kira 11,000 orang atau 24.34 peratus daripadanya merupakan pengundi Cina yang kebanyakannya berada di kawasan bandar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button