“YB, tengok saya dapat sign PM” – Fadhlina kongsi detik istimewa dalam lawatan mengejut ke SM Sains Segamat
SEGAMAT – “YB, tengok saya dapat sign PM. YB sign sebelah ni ya.”
Permintaan spontan seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Segamat (SESS) yang menunjukkan tandatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada buku miliknya menjadi antara detik paling mencuit hati dan menyentuh perasaan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika melakukan lawatan mengejut ke sekolah berkenaan.
Fadhlina berkata, beliau bergegas ke sekolah itu selepas menerima makluman bahawa sebahagian pelajar kurang sihat, memandangkan beliau kebetulan berada di sekitar Segamat.

Menurutnya, suasana menjadi gamat seketika sebaik beliau tiba ketika para pelajar sedang menikmati minum malam.
“Seperti biasa, apabila bertemu dengan anak-anak, ada sahaja cerita dan permintaan mereka yang mencuit hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Selain pelajar yang teruja menunjukkan tandatangan Perdana Menteri, Fadhlina berkata, beliau turut menerima pelbagai permintaan dan harapan daripada pelajar.
Antaranya memohon didoakan kejayaan dalam pertandingan STEM, istiqamah dalam penulisan jurnal al-Quran dan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Malah, seorang pelajar turut berseloroh meminta beliau menyampaikan jemputan kepada Perdana Menteri untuk hadir merasmikan sekolah mereka.
“YB boleh minta PMX datang rasmikan sekolah kami? Bagitahu Aiman minta tolong datang,” kongsi Fadhlina.
Tidak kurang juga pelajar yang menawarkan untuk mempersembahkan lagu oleh kumpulan muzik sekolah kepada beliau serta mencadangkan agar lebih ramai guru generasi Z ditempatkan di sekolah berkenaan.
Fadhlina berkata, beliau amat tersentuh melihat kasih sayang, rasa hormat dan budi bahasa yang ditunjukkan oleh para pelajar.
“Tangan saya juga tidak betah melayan permintaan mereka untuk tandatangan dan meminta kata-kata semangat,” katanya.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut meninjau asrama putera dan puteri bagi memastikan aspek keselamatan serta kebersihan berada pada tahap terbaik.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati keadaan keseluruhan sekolah dan kebajikan pelajar berada dalam keadaan baik.
Lebih menyentuh hati, Fadhlina turut meluangkan masa bersama pelajar menghabiskan bacaan Surah Al-Mulk sebelum mereka masuk tidur.
“Ketika duduk seketika menghabiskan Al-Mulk bersama anak-anak, saya diselimuti rasa syukur dan terharu.
“Anak-anak tidur dalam dakapan kalimah Allah yang pastinya dapat melindungi mereka dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbir dan guru-guru SESS atas usaha membentuk sahsiah serta karakter pelajar dengan begitu baik.
Pada masa sama, Fadhlina memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berada dalam keadaan selamat dan dijaga dengan baik.
“Buat ibu ayah yang merindui anak-anak SESS, mereka semua dalam jagaan yang baik. Alhamdulillah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













