PH berjuang untuk rakyat, bukan kelompok tertentu – Dr Maszlee
JOHOR BAHRU – Perjuangan Pakatan Harapan (PH) bukan untuk kelompok tertentu, sebaliknya berteraskan kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Memetik artikel Suara Keadilan, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menegaskan, PH akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat daripada golongan bawahan sehingga ke peringkat tertinggi masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Kita mewakili rakyat, membawa aspirasi rakyat dan memperjuangkan nasib rakyat.
“Kita bukan memperjuangkan kelompok elit atau golongan maha kaya semata-mata, tetapi membawa denyut nadi masyarakat secara keseluruhan,” katanya kepada Noraini Nordin dalam artikel berkenaan, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Maszlee turut menyeru seluruh jentera dan penyokong PH supaya terus bekerja keras sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan yang bakal dicapai benar-benar menjadi kemenangan untuk rakyat.
“Teruskan perjuangan dan pastikan kemenangan itu menjadi milik rakyat, milik harapan,” katanya lagi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai mengenai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, beliau berkata, perkara akan ditentukan oleh kepimpinan PH.
“Wallahua’lam bissawab. Perkara itu kita serahkan kepada parti dan Pakatan Harapan untuk menentukan segala-galanya,” katanya.
Menurut beliau, fokus utamanya ketika ini adalah menyumbang pengalaman dan tenaga demi kemajuan Johor yang merupakan tanah tumpah kelahirannya.
“Bagi saya, saya hanya ingin memberikan yang terbaik untuk negeri Johor. Kita mahu memastikan segala pembangunan dan kemajuan yang sedang dibawa di peringkat Persekutuan turut dapat dinikmati oleh rakyat Johor,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













