POLITIK

Peniaga, pekebun terkesan kos meningkat, Onn cadang Jualan Rahmah diperbanyakkan

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar mencadangkan penganjuran Jualan Rahmah di kawasan itu ditingkatkan kepada tiga kali seminggu bagi membantu penduduk berdepan tekanan kos sara hidup.

fahmi fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut hadir dalam ceramah berkelompok bersama masyarakat Cina di dun Simggarang malam tadi.

Menurut beliau, langkah tersebut akan dipohon kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya lebih banyak program jualan berharga rendah dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

“Selain Jualan Rahmah yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus, program berkenaan turut boleh diperluaskan dengan kerjasama Agro Madani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Semua bahan asas seperti ikan dan beras akan dapat ditawarkan pada harga lebih rendah. Ini merupakan langkah sementara bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui selepas program ceramah kelompok di Taman Evergreen Height, Senggarang hari ini.

Mengulas isu yang sering dibangkitkan penduduk, khususnya masyarakat Cina di kawasan berkenaan, Onn berkata, kemerosotan jualan perniagaan menjadi antara kebimbangan utama yang disuarakan kepada beliau sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya, ramai peniaga berdepan keadaan ekonomi yang mencabar selain turut bimbang mengenai pelaksanaan sistem e-Invois dan kesan rasionalisasi subsidi diesel terhadap sektor pertanian.

“Ramai penduduk di sini terdiri daripada pekebun pisang, durian dan pelbagai hasil pertanian lain, jadi isu-isu ini memberi kesan secara langsung kepada mereka.

“Perkara-perkara ini sering dibangkitkan ketika saya bertemu pengundi dan kita akan terus membawa suara mereka kepada pihak berkaitan,” katanya lagi.

Beliau berkata, kempen pilihan raya perlu diteruskan secara konsisten sehingga hari pengundian bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat didekati.

“Pendekatan turun padang ke pasar, kedai kopi dan lokasi tumpuan orang ramai memberi peluang kepada calon untuk memahami isu sebenar yang dihadapi penduduk.

“Kita akan teruskan kempen sehingga minggu terakhir dengan mendekati pengundi di tempat-tempat tumpuan seperti pasar dan kedai kopi bagi mendapatkan maklum balas secara langsung,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button