BERITA SEMASAPMX

Malaysia sasar jadi hab UAV serantau, perkukuh ekonomi digital dan teknologi baharu – PM

SERDANG – Malaysia komited untuk membangunkan ekosistem industri pesawat udara tanpa pemandu (UAV) sebagai sektor pertumbuhan baharu negara, dengan sasaran menjadikan negara ini sebagai hab serantau bagi industri berteknologi tinggi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sedia ada bagi memastikan industri UAV berkembang secara menyeluruh dan mampu menjadi pemacu baharu kepada ekonomi digital negara.

Menurutnya, industri UAV dijangka mempunyai nilai pasaran melebihi AS$55 bilion (RM225 bilion) menjelang 2030 dan berpotensi memberikan nilai tambah yang besar kepada pelbagai sektor, termasuk pengurusan bencana dan keselamatan negara.

“Kita perlu segera meneroka teknologi serta bidang baharu jika mahu negara menjadi lebih maju dan kukuh dari segi ekonomi. Teknologi dron merupakan antara sektor berkaitan digital dan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan ekosistem yang mantap serta menyeluruh.

“Nilai teknologi ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menyokong sektor pertahanan, malah mampu meningkatkan daya tahan negara serta memperbaiki kualiti penyampaian perkhidmatan awam,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Ekspo MyDrone, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Pertubuhan Dron atau UAV Dunia (WUAVF) Malaysia, Datuk Tay Kean Boon dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Anwar berkata, penggunaan dron juga berupaya meningkatkan kecekapan operasi menyelamat dengan membantu mengesan lokasi mangsa dan meningkatkan kesedaran situasi, terutama di kawasan yang sukar diakses pasukan penyelamat.

Beliau turut menegaskan bahawa kementerian dan agensi berkaitan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menyampaikan dasar serta hala tuju kerajaan berhubung pembangunan ekosistem UAV kepada pemain industri.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta perlu diperkukuhkan bagi mewujudkan platform inovasi dan kolaborasi yang mampu memacu industri UAV di peringkat global.

Mengulas mengenai potensi penggunaan dron, beliau berkata teknologi itu kini digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor termasuk perladangan dan pertanian, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti negara.

“Saya telah meminta kerajaan, Kabinet, institusi penyelidikan sains dan semua agensi berkaitan supaya memberikan sokongan yang diperlukan agar pemain industri tidak perlu bimbang mengenai hala tuju dan dasar yang jelas.

“Komitmen membangunkan ekosistem UAV negara juga perlu mengambil kira aspek penyelidikan, pelaburan, pengujian serta kerjasama antara industri, kerajaan, institusi penyelidikan dan universiti.

“Semua ini perlu disokong oleh kestabilan politik dan pelaksanaan dasar yang jelas kerana ia merupakan antara faktor utama dalam menarik pelaburan strategik, khususnya dalam industri teknologi baharu,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button