KEMENTERIAN KOMUNIKASI

NADI jadi model antarabangsa, Timor-Leste antara negara mahu contohi Malaysia – Fahmi

BATU PAHAT – Model Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dibangunkan Malaysia kini menjadi perhatian masyarakat antarabangsa apabila beberapa negara mula melihatnya sebagai contoh pembangunan pusat transformasi digital komuniti.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengiktirafan yang diterima daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) membuktikan kejayaan NADI dalam memperkasakan masyarakat menerusi pelbagai program berasaskan teknologi dan kemahiran digital.

Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta NADI telah diiktiraf sebagai rakan kongsi pusat transformasi digital oleh badan antarabangsa itu.

“Ini yang menyebabkan pihak antarabangsa seperti ITU mentauliahkan dan menerima MCMC serta NADI sebagai rakan kongsi pusat transformasi digital.

“Ini satu pengiktirafan yang besar dan banyak negara lain sedang melihat serta cuba mencontohi model seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Parit Kemang di Parit Botak, Senggarang di sini hari ini.

Beliau berkata, fungsi NADI kini jauh berkembang berbanding konsep asal sebagai pusat internet komuniti apabila menawarkan pelbagai program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, antara program yang disediakan termasuk saringan kesihatan, latihan kemahiran membaiki telefon pintar, fotografi, keusahawanan dan pelbagai kursus berkaitan ekonomi digital.

“Kalau dahulu ia lebih dikenali sebagai pusat internet atau kafe siber luar bandar, hari ini NADI menjadi hab pembangunan komuniti yang menawarkan pelbagai peluang pembelajaran dan peningkatan kemahiran,” katanya lagi.

Fahmi berkata, sesetengah pusat NADI kini dilengkapi kemudahan internet berkelajuan sehingga satu Gigabit sesaat (Gbps), sekali gus mencerminkan keupayaan infrastruktur digital yang disediakan kerajaan.

“Timor-Leste merupakan antara negara yang menunjukkan minat untuk mempelajari dan mengadaptasi model NADI.

Menurutnya, minat tersebut dizahirkan ketika negara berkenaan membuat persiapan untuk menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11.

“Apabila kita menerima Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN yang ke-11, mereka melihat beberapa perkara yang ingin dipelajari daripada Malaysia.

“Malah, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani dan kita akan membawa model ini untuk dilaksanakan di Timor-Leste. Itu salah satu contoh negara lain yang cuba mencontohi program NADI,” katanya lagi.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan Malaysia bukan sahaja berjaya memperluaskan akses digital kepada rakyat, malah berupaya menjadi rujukan kepada negara lain dalam usaha merapatkan jurang digital dan memperkasa komuniti menerusi teknologi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button