BUDI MADANI Diesel diperluas kepada kenderaan persendirian milik syarikat
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) akan diperluaskan kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi jenis badan pikap serta jip.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemilik berdaftar kenderaan diesel akan turut dibenarkan memindahkan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.
Menurut MOF, keputusan kerajaan untuk membenarkan pemindahan kelayakan subsidi itu mengambil kira keadaan apabila sesebuah kenderaan diesel itu digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar.
Mekanisme pemindahan kelayakan subsidi itu akan diumumkan melalui saluran rasmi BUDI MADANI selepas perincian teknikal dimuktamadkan.
“Pemindahan kelayakan subsidi adalah tertakluk kepada syarat serta proses pengesahan yang akan ditetapkan,” katanya.
Menurut MOF, ia adalah antara beberapa penambahbaikan yang telah dipersetujui bagi memastikan peralihan kepada BUDI Diesel berjalan lancar, menjelang akses awal pelaksanaannya bagi penerima layak di Semenanjung, esok.
Dalam perkembangan sama, MOF berkata, peluasan BUDI Diesel kepada pikap dan jip persendirian milik syarikat telah dipersetujui Jemaah Menteri selepas mengambil kira maklum balas dan rayuan peniaga kecil serta pengguna kenderaan diesel yang menggunakan kenderaan berkenaan bagi tujuan kerja harian.
Katanya, peluasan itu dijangka memberi manfaat kepada mereka yang menggunakan pikap dan jip diesel untuk perniagaan kecil, perjalanan harian serta aktiviti di kawasan luar bandar dan pedalaman, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
“Pemilik kenderaan dalam kategori ini boleh membuat semakan dan permohonan melalui portal rasmi BUDI MADANI selepas sistem permohonan dikemas kini,” katanya.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan, akses awal BUDI Diesel akan bermula esok bagi pengguna kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.
Sepanjang tempoh akses awal itu, pengguna layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.
Pelaksanaan penuh BUDI Diesel pula akan bermula pada 1 Julai depan di seluruh negara, dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.
MOF berkata, penerima sedia ada BUDI Diesel Individu yang sudah menerima bantuan tunai RM400 pada awal bulan ini kini turut boleh membeli diesel pada harga bersubsidi melalui pengesahan MyKad sepanjang tempoh akses awal.
Pada masa sama, lebih ramai pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung yang sebelum ini tidak menerima bantuan tunai BUDI Diesel Individu, akan mendapat akses kepada diesel bersubsidi menerusi mekanisme baharu itu.
Menurut MOF, pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan serta had kelayakan bulanan melalui portal rasmi BUDI MADANI, manakala pemilik pikap dan jip yang layak turut boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan melalui portal sama.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel serta meneliti maklum balas rakyat bagi memastikan peralihan kepada mekanisme subsidi diesel bersasar berjalan lancar dan manfaat subsidi disalurkan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar layak,” katanya.
Selain itu, MOF memaklumkan bahawa kerajaan memberi pengecualian sementara fi Tukar Hak Milik (THM) bagi kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai depan, bagi memudahkan pemilik dan pengguna mengemas kini rekod pemilikan susulan pelaksanaan BUDI Diesel.
Program insentif itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













