BERITA SEMASA

MPKL akan pastikan bantuan kepada mangsa banjir di RTB Bukit Changgang dipercepatkan – Nur Zairina

BANTING – Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) akan memastikan penyaluran bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di RTB Bukit Changgang dipercepatkan.

Ketua Whip MPKL, Nur Zairina Muzaini berkata, pada masa sama kebajikan dan keselamatan mangsa banjir di kawasan tersebut juga akan diberikan keutamaan.

“Dalam situasi seperti ini, keutamaan kita adalah memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin.

“Pada masa sama, usaha mengenal pasti punca serta penyelesaian jangka panjang perlu diberikan perhatian agar penduduk tidak terus berdepan risiko banjir pada masa hadapan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Terdahulu, Nur Zairina Muzaini turun padang menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang, hari ini.

Beliau bersama pasukan sukarelawan dan beberapa agensi berkaitan mengagihkan bantuan segera berupa makanan, air mineral, roti serta pelbagai keperluan asas kepada keluarga yang terkesan akibat bencana tersebut.

Ketua whip Nur Zairina Muzaini bersama sukarelawan PEBS daripada Sepang dan Kuala Langat. Foto Malaysia Tribune.

Selain meninjau keadaan mangsa di PPS, Nur Zairina turut berkesempatan mendapatkan maklumat terkini berhubung keperluan penduduk bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara cepat, teratur dan menyeluruh.

Pada sebelah tengah hari, beliau menyertai lawatan tapak bersama Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim ke lokasi ban yang pecah, yang dipercayai menjadi antara punca utama kejadian banjir di RTB Bukit Changgang serta kawasan sekitarnya.

Lawatan tapak bersama Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim ke lokasi ban yang pecah. Foto Malaysia Tribune.

Lawatan berkenaan bertujuan menilai tahap kerosakan dan mengenal pasti tindakan segera yang perlu diambil bagi mengurangkan kesan kepada penduduk selain mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, anggota keselamatan, sukarelawan, agensi kerajaan dan pihak swasta yang bertungkus-lumus membantu mangsa sepanjang tempoh bencana.

Katanya, semangat kerjasama dan keprihatinan yang ditunjukkan pelbagai pihak membuktikan usaha membantu masyarakat memerlukan komitmen bersama demi memastikan setiap mangsa mendapat bantuan sewajarnya.

Banjir yang melanda beberapa kawasan di RTB Bukit Changgang sejak semalam menyebabkan ramai penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS.

Sebagai langkah keselamatan sementara pihak berkuasa terus memantau perkembangan keadaan serta melaksanakan tindakan susulan bagi menangani punca kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button