PRN Johor: DUN Mahkota jadi rebutan tiga calon
KLUANG – Kerusi panas Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Penyandang kerusi berkenaan, Syed Hussien Syed Abdullah (BN), dicabar Dr Ahmad Zuhan Md Zain yang mewakili PH dari parti Amanah serta Abd Hamid Ali daripada Bersama.
Pengurus Pilihan Raya DUN Mahkota, Azmi Ahmad mengumumkan ketiga-tiga calon itu layak bertanding selepas tamat proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
“Saya telah menyemak kertas penamaan dan berpuas hati kerana tiada yang ditolak maka semua calon layak bertanding,” katanya selepas proses penyerahan borang pencalonan yang bermula jam 9 pagi tadi selesai dijalankan.
Terdahulu, ketibaan calon bersama penyokong masing-masing turut memeriahkan suasana apabila penyokong BN hadir dengan pakaian dan bendera berwarna biru, PH dengan merah, manakala Bersama dengan kuning.
Keadaan sekitar pusat penamaan calon dilaporkan terkawal dengan kehadiran anggota polis yang mengawal keselamatan bagi memastikan proses berjalan lancar.
Sebagai rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada September 2024 menyaksikan Syed Hussien menang dengan memperoleh 27,995 undi, mengatasi pencabarnya Mohamad Haizan yang meraih 7,347 undi, sekali gus dilihat mempunyai kelebihan menjelang PRN ke-16 ini.
Proses penamaan calon bagi PRN Johor ke-16 selesai pada 10 pagi tadi, selepas semua 56 pusat penamaan calon di seluruh negeri ditutup.
Tempoh berkempen selama 14 hari bagi PRN Johor pula bermula secara rasmi seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga 11.59 malam, 10 Julai, sebelum hari pengundian berlangsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








