Gempa bumi kuat 6.9 magnitud gegar utara Jepun, operasi kereta api laju dihentikan
TOKYO – Gempa bumi kuat bermagnitud 6.9 menggegarkan utara Jepun pada awal pagi ini dengan gegaran mencapai tahap enam atas pada skala intensiti seismik Jepun yang mempunyai tujuh tahap.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), gegaran paling kuat direkodkan di bandar Hashikami, Wilayah Aomori, manakala gegaran turut dirasai sehingga ke ibu negara, Tokyo.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan kejadian itu, menurut laporan Japan Times.
JMA memaklumkan pusat gempa terletak pada kedalaman 50 kilometer di luar pesisir Wilayah Iwate.
Bandar Hachinohe di Aomori merekodkan intensiti enam bawah, manakala beberapa kawasan di Iwate mencatatkan bacaan lima atas.
Mengikut takrifan JMA, gegaran pada tahap enam atas menyebabkan kebanyakan individu sukar berdiri atau berjalan dan hanya mampu merangkak, selain mengakibatkan perabot yang tidak dipasang kukuh tumbang.
Susulan kejadian itu, operasi kereta api laju Tohoku Shinkansen dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan.
Pejabat Perdana Menteri Jepun turut menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau perkembangan situasi dan menyelaras tindakan kecemasan.
Perdana Menteri, Sanae Takaichi berkata, setakat ini tiada ancaman tsunami dikesan, namun penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya gempa susulan dengan kekuatan yang hampir sama.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet, Minoru Kihara berkata, tiada laporan kemalangan jiwa diterima setakat ini dan tiada sebarang gangguan atau kerosakan dilaporkan di kemudahan tenaga nuklear berhampiran kawasan terjejas.
Bagaimanapun, stesen televisyen Fuji TV melaporkan beberapa individu dipercayai terperangkap di dalam lif di Hachinohe selepas sistem berkenaan terhenti akibat gegaran.
Menteri Pertahanan, Shinjiro Koizumi, turut mengarahkan Pasukan Pertahanan Diri Jepun menjalankan operasi pemantauan udara bagi menilai kesan gempa di kawasan terlibat.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, wilayah utara Jepun kerap mengalami aktiviti seismik.
Pada Mei lalu, gempa bumi bermagnitud 6.3 melanda wilayah Tohoku, manakala pada April, gempa bumi bermagnitud 7.7 di kawasan sama mendorong pihak berkuasa mengeluarkan nasihat khas supaya penduduk bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya gempa yang lebih besar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








