Mahasiswa USIM, UIAM galas peranan duta kecil Malaysia di Palembang
PALEMBANG – Mahasiswa daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diberi peluang menggalas peranan sebagai duta kecil Malaysia dalam program Indonesia Outreach Mission (IOM) 7.0: Edisi Palembang yang berlangsung dari 13 hingga 17 Jun lalu.
Program anjuran Akademi Fasilitator Muslim (AFM) itu membawa misi perkongsian ilmu, motivasi dan pembangunan sahsiah kepada pelajar-pelajar di beberapa institusi pendidikan dan pesantren di sekitar Palembang, Indonesia.
Menurut mahasiswa USIM, Muhammad Danish Suhailey, pengalaman menyertai program tersebut memberi peluang yang besar untuk menyumbang kepada masyarakat di samping membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Jutaan terima kasih kepada Akademi Fasilitator Muslim (AFM) atas ruang yang diberikan untuk memberi dan berkongsi bersama pelajar khususnya di Palembang ini.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat, malah membentuk mahasiswa yang lebih berani, berwawasan dan cakna terhadap tanggungjawab sosial,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Sepanjang program berlangsung, delegasi Malaysia berpeluang mengadakan sesi motivasi, perkongsian pengalaman sebagai mahasiswa, serta memperkenalkan sistem pendidikan tinggi Malaysia kepada para pelajar Indonesia.
Pada masa yang sama, para peserta turut mempromosikan universiti masing-masing sebagai destinasi pendidikan yang berpotensi untuk pelajar antarabangsa.
Antara institusi yang diziarahi termasuk Pondok Pesantren Modern Albasya, Pesantren Raudhatul Ulum Sakatiga, Pesantren Al-Ittifaqiyah, Pondok Pesantren Modern Prof Muhajirin serta Universitas Islam Negeri (UIN) Raden Fatah Palembang.
Program tersebut turut menguji kemahiran kepimpinan dan pengurusan peserta apabila mereka diwajibkan mencari penajaan sendiri bagi menampung kos sepanjang misi berlangsung.
Inisiatif itu bertujuan membentuk mahasiswa yang lebih proaktif, berdaya saing serta mahir dalam komunikasi dan pembinaan jaringan.
Beliau berharap program tersebut akan terus menjadi jambatan kerjasama pendidikan dan pembangunan belia antara Malaysia dan Indonesia pada masa akan datang.
Program Indonesia Outreach Mission 7.0 membuktikan bahawa mahasiswa mampu menjadi agen perubahan dan duta kecil negara melalui perkongsian ilmu, pembinaan jaringan antarabangsa serta usaha memperkasa pendidikan merentas sempadan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








