POLITIK

BERSATU bantah PN terima kemasukan PCM

CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membantah kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) ke dalam Perikatan Nasional (PN) sambil mendakwa permohonan kemasukan parti berkenaan dibuat secara tidak teratur dan boleh menambah masalah dalaman gabungan berkenaan.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantahan itu dibuat kerana PN masih berdepan masalah sesama anggota komponen selepas PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU.

“Penerimaan parti baharu yang dipimpin bekas ahli BERSATU yang telah dipecat akan menambah masalah dalaman PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal mendakwa, permohonan PCM menyertai PN juga dibuat secara tidak teratur tidak teratur kerana dibuat atas nama Datuk Seri Saifuddin Abdullah atas kapasiti Setiausaha Agung PCM.

Katanya, semakan BERSATU mendapati, Setiausaha Agung terkini parti berkenaan bagi penggal 2026-2027 ialah Yeo Kwee Kwang.

Beliau berkata, maklumat barisan kepimpinan dikemukakan pula merujuk kepada WAWASAN, sedangkan permohonan dibuat atas nama PCM.

“Maklumat barisan kepimpinan dikemukakan ialah Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan dibuat oleh Parti Cinta Malaysia.

“Berdasarkan semakan kami setakat semalam, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Menggunakan nama parti tidak diluluskan JPPM adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya memberitahu, isu tersebut turut dibangkitkan wakil BERSATU dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN malam semalam dan berpendirian mesyuarat berkenaan perlu ditangguhkan.

Namun, katanya mesyuarat tetap diteruskan dan tindakan itu ‘berkemungkinan bertentangan’ dengan kehendak JPPM supaya urusan pentadbiran serta pengurusan parti dilaksanakan mengikut Perlembagaan PN, Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan berkuat kuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button