BERITA SEMASA

Hari Koperasi Negara 2026 sasar 10,000 pengunjung

KUALA LUMPUR – Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA, Arena Butterworth dari 3 hingga 5 Julai depan, menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung.

Acara tersebut bakal menghimpunkan gerakan koperasi dari seluruh negara melalui pelbagai aktiviti serta pameran yang disediakan.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) berkata, sambutan tahun ini dianjurkan secara lebih meluas membabitkan 150 reruai pameran dan jualan merangkumi sektor ekonomi, pendidikan, teknologi, pelancongan, makanan, serta keusahawanan.

“HKN’26 bukan sekadar pameran koperasi. Kami membawakan sebuah festival rakyat yang menghimpunkan makanan tradisional, pakej pelancongan menarik, aktiviti keluarga, peluang perniagaan, peluang pendidikan, peluang pekerjaan dan pengiktirafan kepada koperasi terbaik negara.

“Dengan 150 reruai yang menghimpunkan pelbagai sektor, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat, perkhidmatan dan tawaran menarik dalam satu lokasi,” katanya semasa berucap pada Majlis Pra Peluncuran HKN’26 di Dewan Perdana, Bangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Tarikan utama program adalah Jualan Madani Koperasi (JMK) yang menawarkan barangan keperluan asas dan produk koperasi dengan penjimatan sehingga 40 peratus berbanding harga pasaran.

Selain itu, HKN’26 turut menyediakan platform pendidikan dan kerjaya melalui reruai Jom Masuk Universiti, TVET, Kecerdasan Buatan (AI) serta MYFutureJobs, yang menawarkan akses maklumat berkaitan latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, dua anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Menteri (Koperasi Lestari) dan Anugerah Khas Menteri (Koperasi Komuniti) bagi mengiktiraf koperasi yang menunjukkan potensi besar untuk muncul sebagai peneraju dalam sektor masing-masing.

HKN’26 dijadual dilancarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 4 Julai depan dan dijangka menghimpunkan lebih 100 aktiviti sepanjang tiga hari penganjurannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button