KUSKOP percepat proses pembiayaan, TEKUN boleh lulus dalam tempoh sehari – Steven Sim
MELAKA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan kelulusan segera pembiayaan TEKUN Nasional sehingga RM20,000 dalam tempoh 24 jam bagi memastikan usahawan mikro dapat memperoleh modal pusingan dengan lebih pantas.
Menterinya, Steven Sim berkata, inisiatif berkenaan kini sedang dilaksanakan di bawah fasa projek rintis sebelum dijangka dilancarkan secara rasmi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, sekali gus memudahkan urusan peniaga kecil tanpa perlu menunggu lama.
Beliau berkata, bagi pembiayaan sehingga RM100,000 pula, tempoh proses permohonan TEKUN Nasional telah dipendekkan kepada hanya tujuh hari berbanding kira-kira 30 hari sebelum ini.
“Bagi pembiayaan di bawah Bank Rakyat dan SME Bank pula, permohonan sehingga RM1 juta disasarkan menerima keputusan dalam tempoh 14 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Portal TEKUN Nasional sempena Majlis Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia 2026 di Morten Walk, di sini hari ini.
Menurut Sim, pembaharuan tersebut amat penting bagi memastikan golongan usahawan tidak berdepan kekangan birokrasi dan masa untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Pada masa sama, beliau mendedahkan bahawa setakat 31 Mei lalu, KUSKOP telah meluluskan nilai pembiayaan keseluruhan sebanyak RM5 bilion yang telah memberikan manfaat kepada lebih 180,000 perusahaan di seluruh negara.
Selain itu, KUSKOP juga turut menyasarkan penyaluran dana pembiayaan yang lebih besar berjumlah RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi inisiatif PowerUp10K sepanjang tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








