Almiron pemain pertama dilayang kad merah kerana menutup mulut ketika konfrontasi dengan pemain lawan
SANTA CLARA – Pemain Paraguay, Miguel Almiron mencipta rekod bola sepak yang tidak diingini hari ini selepas menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah kerana menutup mulut ketika berlaku konfrontasi di atas padang di bawah peraturan baharu FIFA.
Bekas pemain Newcastle itu diarahkan keluar padang pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas dia menutup mulut ketika dipercayai mengeluarkan komen kepada pemain Turkiye, Mert Muldur, ketika perlawanan Piala Dunia Kumpulan D antara kedua-dua pasukan di Santa Clara, California, lapor AFP.
Perlawanan berakhir dengan keputusan Paraguay menewaskan Turkiye 1-0 yang turut menyaksikan pasukan Eropah itu tersingkir daripada kumpulan.
FIFA mengumumkan undang-undang baharu itu April lalu bahawa pemain yang menutup mulut ketika berdepan dalam keadaan konfrontasi dengan pemain lawan akan diberikan kad merah.
Inisiatif yang diperkenalkan pada Piala Dunia kali ini adalah sebahagian daripada usaha lebih besar untuk membanteras isu perkauman, menurut FIFA.
Peraturan baharu itu susulan kontroversi awal tahun ini apabila pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni didakwa melakukan penghinaan berbaur perkauman terhadap bintang Real Madrid, Vinicius Junior, ketika perlawanan Liga Juara-Juara pada Februari.
Prestianni menafikan dakwaan melakukan penghinaan perkauman terhadap Vinicius, namun kemudian digantung enam perlawanan, dengan tiga daripadanya ditangguhkan, kerana “tingkah laku homofobik”.
Presiden FIFA, Gianni Infantino merupakan antara penyokong utama undang-undang baharu itu.
“Jika anda tiada sesuatu untuk disembunyikan, anda tidak akan menutup mulut ketika mengatakan sesuatu. Itu sahaja, semudah itu,” kata Infantino, Mac lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















