
Kakak Cristiano Ronaldo kritik Bruno Fernandes, cetus ‘perang saudara’ dalam kem Portugal
LISBON – Kem Portugal dilaporkan dilanda krisis dalaman pada kempen Piala Dunia 2026 apabila kakak kepada Cristiano Ronaldo secara terbuka menyokong kritikan yang ditujukan terhadap Bruno Fernandes.
Ketegangan itu tercetus susulan keputusan mengecewakan skuad kendalian Roberto Martinez yang sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Congo dalam aksi pembukaan kumpulan, lapor NewsBreak.
Jaringan awal Joao Neves pada minit keenam tidak memadai buat Portugal apabila Yoane Wissa menyamakan kedudukan, seterusnya mencatat sejarah sebagai penjaring pertama Congo di saingan Piala Dunia.
Suasana dalam kem Portugal dilaporkan semakin tegang apabila Bruno Fernandes difahamkan berang selepas Cristiano Ronaldo gagal menyudahkan peluang keemasan pada separuh masa kedua.
Prestasi mengecewakan Portugal itu mengundang kecaman hebat daripada peminat di media sosial.
Keadaan menjadi lebih parah apabila akaun Instagram rasmi milik kakak Ronaldo, Katia Aveiro yang mempunyai 1.6 juta pengikut dikesan menekan butang ‘suka’ (like) pada satu hantaran yang mengkritik Fernandes.
“Bruno Fernandes kelihatan seperti pemain yang berbeza apabila menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Apabila Portugal sangat memerlukan seorang pemimpin, dia ‘hilang’ daripada perlawanan dan melepaskan tanggungjawab kepada orang lain,” tulis hantaran Instagram berkenaan yang disokong oleh Katia.
Sementara itu, seorang lagi kakak Ronaldo, Elma Aveiro, turut mencuri tumpuan apabila mendakwa kononnya kemenangan Portugal ‘dicuri’ dalam satu hantaran berasingan.
“Saya percaya permulaan itu sukar, tetapi pengakhirannya pasti baik. Kamu yang berada di atas padang, jadi mudah untuk orang luar bercakap. Lagipun, bukan mudah apabila kemenangan kamu dicuri seperti itu,” kata Elma.
Perlawanan itu menyaksikan Ronaldo, 41, memakai lencana khas pada jersinya bagi meraikan penampilan keenamnya di pusingan akhir Piala Dunia.
Beliau turut memecahkan rekod sebagai pemain posisi padang (outfield player) tertua yang pernah diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam sejarah Piala Dunia pada usia 41 tahun 132 hari.
Bagaimanapun, tindakan penyerang veteran itu yang memilih untuk melepaskan rembatan berbanding melakukan hantaran kepada Fernandes yang berada dalam posisi lebih baik, turut mendapat kritikan daripada legenda bola sepak Perancis, Thierry Henry.
“Jika dia (Ronaldo) masuk ke dalam kotak penalti, pertahanan lawan pasti akan mengekorinya dan itu akan memberi ruang mudah untuk Fernandes menjaringkan gol.
“Disebabkan dia terlalu mahu menjaringkan gol, dia menghalang laluan hantaran itu. Bagi saya, pasukan yang perlu menjaringkan gol, bukannya diri kamu sendiri,” ulas Henry ketika menjadi pengulas di saluran Fox Sports.
Portugal kini kesuntukan masa untuk meredakan ketegangan dalaman sebelum turun dalam aksi kedua kumpulan menentang Uzbekistan pada Selasa ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










