Kemenangan hampir ditolak hanya kerana pamer mesej Gaza – Azizulhasni
KUALA LUMPUR – Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan kemenangannya dalam satu kejohanan besar di Eropah hampir dibatalkan kerana memaparkan mesej Selamatkan Gaza.
Azizulhasni berkata, dalam kejohanan berkenaan, beliau juga hampir dikenakan tindakan ditendang keluar dari perkampung sukan hanya kerana mempamer mesej ‘Save Gaza’ pada sarung tangan sebaik sahaja memenangi perlumbaan itu.
“Semuanya gara-gara kerana saya memaparkan mesej Save Gaza di atas glove yang saya pakai. Ketika itu saya berlumba dengan pelumba dari England dan sejurus selepas memenangi perlumbaan tersebut, saya mengangkat kedua belah tangan untuk menyampaikan mesej kepada seluruh dunia.
“Alasan yang diberikan untuk membatalkan penyertaan saya adalah kerana saya menyampaikan mesej politik di pentas sukan.
“Niat saya ketika itu hanyalah untuk menyampaikan mesej kemanusiaan bagi seluruh dunia tahu keadaan di Gaza,” katanya melalui satu hantaran di Facebooknya semalam.
Azizulhasni berkata, insiden pada tahun 2014 itu berlaku serentak ketika bumi Palestin diserang bertalu-talu oleh tentera Israel.
Justeru, atlet yang popular dengan gelaran The Pocket Rocketman itu menasihatkan rakyat negara itu supaya terus memberikan sokongan kepada Palestin mengikut kemampuan sendiri.
Katanya, sebagai kuasa besar yang mempengaruhi dunia, Israel akan melakukan apa sahaja untuk menutup mulut, telinga dan mata masyarakat dunia terhadap kekejaman yang dilakukan di Palestin.
“Teruskan memberi sokongan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Ada pelbagai cara dan pelbagai ruang untuk membantu mereka disana.
“Bantulah mereka mengikut kemampuan diri kita tetapi yang paling penting adalah sekurang-kurangnya kita melakukan sesuatu.
“Jangan pernah ragu dengan segala ketetapan Allah kerana janji Allah itu adalah pasti,” katanya.