Abdul Hadi dakwa BERSATU tamak kerusi, punca PN terjejas
KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa sikap tamak dalam pembahagian kerusi pilihan raya serta krisis dalaman yang melanda BERSATU telah menjejaskan kekuatan dan maruah Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, parti itu bukan sahaja berdepan konflik kepimpinan yang serius, malah didakwa menyimpang daripada matlamat asal kerjasama politik untuk memperkukuh perpaduan umat Islam.
Abdul Hadi berkata, PAS sejak dahulu mengamalkan pelbagai pendekatan kerjasama politik berasaskan prinsip Islam termasuk tahaluf, isti’anah, muwalah dan ta’awun dalam menjalin hubungan dengan parti-parti lain.
Katanya, kerjasama terbaru PAS melalui konsep ta’awun siyasi bersama BERSATU dan beberapa pihak lain berjaya mengambil alih kerajaan menerusi proses yang sah menggunakan akuan berkanun (SD).
“Langkah itu melalui proses yang betul, bukannya apa yang dinamakan sebagai ‘Langkah Sheraton’ yang kemudiannya diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menonjolkan individu tertentu,” katanya menerusi catatan Minda Presiden PAS di Facebook.
Beliau mendakwa BERSATU kemudiannya cuba menguasai blok majoriti Islam menerusi pengagihan kerusi pilihan raya tanpa mengambil kira kedudukan Islam serta dominasi Melayu bumiputera dalam landskap politik negara.
Menurutnya, parti itu turut menghalang penyertaan beberapa parti lain dalam kerjasama politik berkenaan termasuk Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta Kongres India Malaysia (MIC).
Abdul Hadi turut mendakwa BERSATU mengemukakan maklumat yang tidak tepat mengenai jumlah ahli dan kekuatan jentera parti bagi membolehkan mereka memperoleh lebih banyak kerusi untuk ditandingi.
“Apabila turun ke lapangan, mereka tidak kelihatan sehingga ahli PAS terpaksa bekerja keras membantu calon-calon yang tidak mempunyai jentera sendiri,” katanya.
Beliau juga membangkitkan pergolakan dalaman BERSATU yang menurutnya berpunca daripada perebutan kuasa sehingga membawa kepada pemecatan, penggantungan keahlian dan tindakan keluar parti.
Katanya, ramai Ahli Parlimen yang dilihat mempunyai hubungan baik dengan PAS dalam parti itu turut disingkirkan atau digantung.
“Apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar sehingga boleh menjejaskan kekuatan PN dan menjatuhkan maruah gabungan itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mendakwa BERSATU pernah mengkhianati kerajaan negeri Perlis yang diterajui PAS sehingga menyebabkan Menteri Besar ketika itu kehilangan jawatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








