Politik

Akaun dibeku: Bersatu hantar surat kepada SPRM untuk pembatalan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi memohon supaya membatalkan pembekuan akaun parti itu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya tiada sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa selepas disemak SPRM, akaun parti itu tidak perlu dibekukan.

“Bersatu akan hantar surat hari ini kepada SPRM supaya perintah pembekuan akaun Bersatu ini dapat dibatalkan.

“Kami sebagai pertubuhan politik tiada duit nak bayar gaji pentadbiran bukan untuk sebulan tetapi sepanjang masa.

“Kalau kata untuk tiga bulan, susah pegawai saya tiada gaji nak kekalkan pejabat dan sebagaianya. Ia memberi kesan kelicinan pengurusan parti untuk negara dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Tambah Muhyiddin, sekiranya pembekuan berterusan, ia dikhuatiri menganggu perjalanan Bersatu dan PN sebagai sebuah parti politik.

“Sebab itu kita minta selepas disemak (SPRM), didapati tiada apa-apa penyelewengan salah guna kuasa, tiada wang masuk akaun individu, jadi SPRM segera buat keputusan dibatalkan (pembekuan akaun Bersatu).

“Ini penting supaya pentadbiran parti Bersatu dapat berjalan secara lancar supaya pembayaran gaji pekerja dan komitmen Bersatu dapat dilunaskan mengikut jadual,” katanya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan salah laku terhadap parti itu melibatkan dana Pakej Ransangan Ekonomi, Muhyiddin berkata, tuduhan itu tidak benar.

“Merujuk bank akaun Bersatu dibekukan, saya ingin menegaskan Bersatu tidak menerima sebarang wang daripada dana Pakej Ransangan Ekonomi bernilai RM92.5 billion seperti didakwa sesetengah pihak.

“Pada masa ini SPRM telah memperolehi penyata kewangan dan dokumen berlenaan kewangan Bersatu, saya percaya siasatan SPRM dijalankan profesional akan membersihkan nama Bersatu,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu.

Azam dilaporkan berkata, akaun milik Bersatu dibekukan untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Show More

Related Articles

Back to top button