BERITA SEMASAPOLITIK

Tiada pertindihan calon BN pada PRN Negeri Sembilan, Johor – Dr Zambry

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan calon dalam kalangan parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan susulan proses rundingan dan pengagihan kerusi yang berjalan lancar setakat ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi telah diadakan dan tidak terdapat sebarang masalah besar yang boleh menjejaskan persiapan gabungan itu.

“Pada dasarnya, BN akan bertanding di kedua-dua negeri tersebut. Dari segi agihan kerusi, kita lebih menumpukan kepada perbincangan dalaman BN dan komponen yang berada di dalamnya.

“Kita tidak mendapati sebarang masalah dalam proses agihan itu kerana perbincangan awal telah pun diadakan.

“Pada peringkat ini, kita hanya perlu memperkukuhkan beberapa perkara termasuk soal calon,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Syarahan Awam Profesor Li Cheng dari Universiti Hong Kong, di sini hari ini.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, pemilihan calon bagi PRN berkenaan akan diselaraskan oleh pengerusi perhubungan BN negeri sebelum dibawa ke Dewan Tertinggi BN untuk mendapat kelulusan.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan calon yang dipilih benar-benar menepati keperluan dan kehendak pengundi di peringkat akar umbi.

“Kita akan memberikan kuasa kepada pengerusi perhubungan BN negeri untuk bekerjasama dengan kita dalam memastikan calon yang dikemukakan sesuai kerana mereka lebih mengetahui keadaan di peringkat negeri.

“Cadangan itu kemudiannya akan dibincangkan di peringkat Dewan Tertinggi BN yang akan memberikan kelulusan akhir,” katanya.

Beliau berkata, budaya musyawarah yang diamalkan dalam BN sejak sekian lama menjadi faktor utama yang memastikan sebarang perbezaan pandangan dapat diselesaikan secara baik.

“Walaupun pada peringkat awal mungkin ada yang berminat bertanding di kerusi tertentu, akhirnya semangat BN ialah duduk bersama dan membuat keputusan secara kolektif.

“Tidak akan ada pertindihan dalam kalangan parti komponen kerana semua perkara akan diputuskan melalui perbincangan dan persetujuan bersama,” katanya.

Ditanya mengenai nisbah calon baharu dan penyandang yang akan diketengahkan pada PRN akan datang, Zambry berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan kerana fokus ketika ini adalah memuktamadkan rundingan dalaman parti terlebih dahulu.

“Perkara itu kemudian. Kita masih di peringkat awal dan fokus utama sekarang ialah menyelesaikan perbincangan dalam BN terlebih dahulu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button