BERITA SEMASA

Isu penempatan haram Rohingya: Mesyuarat khas diadakan tengah hari ini

HULU LANGAT – Satu mesyuarat khas melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan akan diadakan tengah hari ini bagi membincangkan isu penempatan haram di Sungai Tekali yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, keputusan mengadakan mesyuarat itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Pegawai Daerah Hulu Langat.

adun dusun tua
ADUN Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz.

“Setelah berunding bersama Tuan Dato’ DO, satu mesyuarat khas bersama PBT yang terlibat akan diadakan tengah hari esok (hari ini) berkenaan penempatan haram yang tular,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Sebelum ini, Johan menjelaskan isu penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan di Sungai Tekali bukan perkara baharu, malah telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian dan tindakan agensi berkaitan.

Menurut beliau, pelbagai operasi penguatkuasaan, pemantauan dan tindakan telah dilaksanakan, namun masalah itu terus berlarutan disebabkan tindakan pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan serta pembinaan struktur tanpa kelulusan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Azad Jasmin atau lebih dikenali sebagai Pak Ajad kerana membantu membawa isu ini kepada perhatian umum,” katanya.

Tambah beliau, terdapat juga pemilik tanah yang menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik kepada penghuni, sekali gus menyukarkan usaha kerajaan menangani isu berkenaan secara berkesan.

Tangkap layar hantaran Azad mengenai penempatan haram Rohingya yang tular di platform Threads.

“Keadaan ini bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan, malah menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu tersebut secara berkesan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penghuni, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti berkenaan berlaku di atas tanah milik mereka.

“Semua pihak yang terlibat perlu dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa agar penyelesaian yang diambil benar-benar menangani punca sebenar masalah,” katanya.

Sementara itu, perkembangan terkini berhubung isu tersebut turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang memuji tindakan pantas pihak berkuasa dan wakil rakyat berkenaan.

Seorang pengguna Facebook mendakwa, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah hadir ke kawasan berkenaan bagi mengambil tindakan memotong bekalan elektrik ke penempatan terbabit, manakala beberapa pengguna lain menyuarakan sokongan terhadap usaha penguatkuasaan yang sedang dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button