LUAR NEGARA

Thaksin bebas sepenuhnya selepas terima pengampunan diraja

BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra kini bebas sepenuhnya selepas menerima pengampunan diraja yang berkuat kuasa minggu lalu, menurut Jabatan Pemulihan Thailand semalam.

Thaksin, 76, sebelum ini menjalani hukuman penjara selama lapan bulan daripada tempoh hukuman setahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum dibebaskan secara parol atas faktor usia serta masalah kesihatan.

Jabatan berkenaan memaklumkan, ahli perniagaan telekomunikasi itu merupakan antara individu yang layak menerima pengampunan diraja pada 3 Jun lalu sempena ulang tahun kelahiran Ratu Suthida kerana mempunyai baki hukuman kurang daripada setahun.

Menurut kenyataan jabatan tersebut, peranti pemantauan elektronik yang dipakai Thaksin sebagai syarat pembebasan parol telah ditanggalkan, sekali gus menandakan beliau tidak lagi tertakluk kepada sebarang bentuk pemantauan.

“Pihak penjara telah mengeluarkan dokumen pembebasan rasmi serta sijil pelepasan kepada Thaksin,” memetik Awani online.

Jabatan itu turut berkata, bekas pemimpin berkenaan kini tidak lagi tertakluk kepada sebarang hukuman jenayah atau syarat berkaitan, selaras dengan prosedur yang dikenakan terhadap banduan lain yang menerima pembebasan penuh.

Thailand secara berkala memberikan pengampunan diraja kepada banduan berkelakuan baik sempena acara penting diraja termasuk sambutan ulang tahun kelahiran Raja dan Ratu.

Thaksin merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam politik moden Thailand dan pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Perdana Menteri negara itu.

Beliau digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2006 sebelum menghabiskan lebih sedekad dalam buangan sendiri, kebanyakannya di Dubai.

Thaksin kembali ke Thailand pada 2023 selepas 15 tahun berada di luar negara bagi menghadapi beberapa pertuduhan yang tertangguh.
Media tempatan melaporkan beliau dijangka berkunjung ke Dubai bulan ini, namun tujuan lawatan itu tidak didedahkan.

Parti Pheu Thai yang diasaskan Thaksin serta parti-parti terdahulu yang berkaitan dengannya merupakan antara gerakan politik paling berjaya di Thailand pada abad ke-21.

Bagaimanapun, prestasi parti itu dalam pilihan raya baru-baru ini yang menyaksikannya jatuh ke kedudukan ketiga telah mencetuskan persoalan mengenai masa depan pengaruh politik Thaksin dan keluarganya di negara tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button