BERITA SEMASA

KEMAS, KPM wujud laluan pendidikan awal kanak-kanak lebih bersepadu

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang membangunkan laluan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih sistematik menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pendidikan (KPM), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, inisiatif itu akan menghubungkan pendidikan di taska dan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan prasekolah serta sekolah rendah kebangsaan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran kanak-kanak sejak usia awal.

Menurutnya, langkah tersebut turut melibatkan usaha menjadikan Tabika KEMAS sebagai ‘feeder kindergarten’ atau tadika pengumpan kepada prasekolah di sekolah-sekolah kebangsaan di seluruh negara.

“Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara KKDW menerusi KEMAS dan KPM bagi merealisasikan kerjasama ini.

“Kanak-kanak yang mengikuti pendidikan di taska dan tabika KEMAS seawal usia dua, tiga dan empat tahun akan dididik menggunakan kurikulum yang telah diselaraskan antara KEMAS dan KPM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Pendidik KEMAS di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, apabila mencapai usia lima tahun, kanak-kanak berkenaan akan meneruskan pembelajaran di prasekolah kendalian KPM sebelum melangkah ke Tahun Satu pada usia enam tahun.

Katanya, pendekatan itu akan mewujudkan ekosistem pendidikan awal kanak-kanak yang lebih bersepadu, tersusun dan berterusan.

Menurutnya, pendekatan itu membentuk satu sistem pendidikan awal yang lebih tersusun dan bersepadu, sekali gus mengukuhkan kesinambungan pembelajaran kanak-kanak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button