17 warga China didakwa terbabit penipuan, promosi judi dalam talian
IPOH – Seramai 17 warga China didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan terlibat dalam kegiatan penipuan dan promosi perjudian dalam talian.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan menerusi jurubahasa.
Daripada jumlah itu, 11 lelaki dan dua wanita didakwa berpakat melakukan penipuan dengan menawarkan perkhidmatan pembayaran hutang yang tidak wujud menerusi platform dalam talian.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Bercham Permai 10 di sini pada pukul 4.30 petang, 17 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, empat lagi lelaki warga China turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi ahli pakatan jenayah yang mempromosikan perjudian dalam talian berunsurkan pertaruhan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Bercham Permai 7 pada pukul 3.30 petang, 18 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap 13 tertuduh dalam kes penipuan, manakala empat tertuduh dalam kes perjudian dibenarkan diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan dua penjamin warganegara Malaysia serta syarat melapor diri di balai polis berhampiran.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin dan Pegawai Pendakwa, Inspektor G. Nanthakumar, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nur Fazliana Mohamad Fisol.
Mahkamah menetapkan 24 Jun ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















