Tiga anggota Tentera Laut Diraja Britain maut dalam nahas helikopter di England
BIRMINGHAM – Tiga anggota Tentera Laut Diraja Britain terbunuh selepas sebuah helikopter jenis Merlin Mk4 terhempas ketika menjalani latihan di Devon, barat daya England, awal pagi semalam.
Menurut Polis Devon dan Cornwall, pasukan kecemasan dikerahkan ke lokasi nahas di Sourton Down berhampiran Okehampton sejurus selepas menerima laporan kejadian.
Susulan insiden itu, beberapa laluan utama termasuk jalan A386 dan A30 ditutup bagi membolehkan operasi menyelamat serta siasatan dijalankan.
Dalam satu kenyataan, Tentera Laut Diraja Britain mengesahkan ketiga-tiga mangsa merupakan anggotanya yang sedang terlibat dalam latihan penerbangan ketika nahas berlaku.
“Dengan rasa amat dukacita, kami mengesahkan tiga anggota Tentera Laut Diraja telah terkorban semasa latihan helikopter dijalankan. Ucapan takziah kami kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Turus Tentera Laut, Jeneral Sir Gwyn Jenkins menyifatkan kejadian itu sebagai satu kehilangan besar kepada komuniti Tentera Laut Diraja serta merakamkan penghargaan kepada pasukan kecemasan yang bertindak pantas di lokasi nahas.
Nahas berkenaan dilaporkan berlaku berhampiran kawasan latihan ketenteraan di pinggir Dartmoor yang sering digunakan oleh kru helikopter untuk latihan operasi. – Agensi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








