JPJ Melaka tahan warga Ghana pandu kenderaan tamat cukai jalan
MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengambil tindakan tegas terhadap seorang lelaki warga Ghana selepas dikesan memandu kenderaan dengan cukai jalan dan insurans yang telah tamat tempoh, dalam satu operasi di sini.
Lelaki warga asing berusia 29 tahun itu ditahan kelmarin dalam fasa akhir Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 yang dilaksanakan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Plaza Tol Tangkak, Johor hingga Plaza Tol Pedas, Negeri Sembilan.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu lelaki terbabit bersama dua rakan senegaranya dikesan menyalahgunakan lorong kecemasan di Kilometer 182 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Jasin, sebelum diarah berhenti untuk pemeriksaan.
Menurut beliau, pemandu terbabit mengemukakan pasport Ghana serta lesen memandu antarabangsa yang dikeluarkan Persekutuan Automobil Antarabangsa.
“Semakan lanjut mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan itu sudah tamat tempoh sejak 12 Ogos tahun lalu selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Pemandu itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah untuk memandu di negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, lelaki itu mendakwa tidak mengetahui status cukai jalan dan insurans kenderaan berkenaan kerana ia milik rakannya yang kini berada di Amerika Syarikat.
“Difahamkan, mereka yang bekerja di syarikat teknologi maklumat dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur ketika ditahan.
“Atas pelbagai kesalahan yang dikesan, JPJ mengeluarkan notis saman P22 dan menyita kenderaan terbabit mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Siti Zarina berkata, menerusi operasi sama di jalan sekitar negeri ini, tiga motosikal ditunggang lelaki warga China, Indonesia dan Bangladesh turut disita selepas mereka didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Katanya, warga China berusia 50 tahun yang menunggang Yamaha Ego 125 Gear itu ditahan di Jalan Melaka Sentral pada pukul 5.45 petang.
“Lelaki Indonesia dan Bangladesh berusia 34 dan 42 tahun yang menunggang Honda Beat dan Honda Dash pula ditahan di Jalan Panglima Awang sekitar pukul 5.50 petang,” katanya.
Katanya, semua kenderaan yang terbabit disita dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








