SUKAN

Chelsea ‘bahan’ Arsenal selepas tewas di final Liga Juara-Juara Eropah

LONDON – Kekalahan Arsenal kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam final Liga Juara-Juara Eropah bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak, malah mencetuskan reaksi sinis daripada seteru setempat mereka, Chelsea, di media sosial.

Beberapa minit selepas Arsenal tewas secara dramatik menerusi penentuan sepakan penalti, Chelsea memuat naik hantaran promosi lawatan stadium Stamford Bridge di platform X yang memaparkan koleksi trofi milik kelab itu termasuk Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab FIFA.

“Datang dan lawati rumah trofi London. Tempah lawatan stadium anda di Stamford Bridge sekarang,” menurut kapsyen yang disertakan bersama hantaran tersebut.

Tindakan Chelsea itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong kedua-dua kelab yang sememangnya mempunyai sejarah persaingan sengit sesama mereka di London.

Dalam masa sama, beberapa kelab lain termasuk Crystal Palace dan Nottingham Forest turut mencuri perhatian apabila memuat naik hantaran berbaur sindiran susulan keputusan final berkenaan.

Pada awal pagi tadi, PSG membuktikan mereka bukan sekadar pasukan yang bergantung kepada kehebatan menyerang apabila mempertahankan kejuaraan UCL selepas menewaskan Arsenal menerusi penentuan penalti dalam final yang penuh mendebarkan di Puskas Arena.

Setahun selepas membelasah Inter Milan 5-0 di final, PSG kali ini terpaksa menggunakan pendekatan berbeza apabila berdepan tentangan cukup ampuh daripada juara Liga Perdana Inggeris itu.

Meskipun menguasai hampir keseluruhan permainan, skuad kendalian Luis Enrique terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal Kai Havertz pada minit keenam.

Walau bagaimanapun, juara bertahan itu enggan panik dan terus sabar mencari ruang dalam benteng Arsenal yang tampil cukup berdisiplin sepanjang perlawanan.

Gol penyamaan hadir selepas Khvicha Kvaratskhelia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Cristhian Mosquera sebelum Ousmane Dembele tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Selepas kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat masa tambahan, PSG akhirnya mengesahkan kejuaraan menerusi kemenangan 4-3 dalam penentuan penalti selepas pertahanan Arsenal, Gabriel, gagal menyempurnakan sepakannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button