BERITA SEMASA

ME2023 mohon Nepal keluarkan deklarasi rasmi kematian Muhammad Hawari

KUALA LUMPUR – Pihak Malaysia Everest 2023 (ME 2023) sudah memohon kepada Kerajaan Nepal untuk mengeluarkan surat deklarasi atau pengisytiharan rasmi kematian pendaki, Muhammad Hawari Hashim yang hilang di Gunung Everest tiga tahun lalu.

Chef de Mission ME 2023, Tan Sri Salleh Mohd Nor berkata permohonan itu telah disampaikan kepada wakil Kerajaan Nepal, Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Malaysia, Mudita Bajracharya bagi membantu keluarga Hawari terutamanya dalam urusan tuntutan insurans, pekerjaan dan dokumentasi rasmi.

Setakat ini, katanya, tiada sebarang dokumen deklarasi kematian dikeluarkan oleh Kerajaan Nepal berhubung kehilangan pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran itu.

Beliau memberitahu, melalui pertemuan yang diadakan, wakil Kerajaan Nepal bersetuju untuk membantu berhubung hasrat yang disampaikan.

“Tindakan seterusnya ialah menghantar surat rasmi kepada kerajaan berkenaan bagi mendapatkan pertimbangan dan tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Everest Sedunia 2026 (Sagarmatha Diwas 2026), di sini semalam.

Pada majlis itu, empat pendaki Everest negara diraikan iaitu pendaki Malaysia Everest pertama, Datuk N Mohanadas Nagappan yang menawan puncak pada 1997, dua pendaki Projek Everest Felda 2013 iaitu Mohamad Asyraf Mohd Halim dan Zainudin Lot serta Azim Afif Ishak yang berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 2016.

Sambutan Hari Everest Sedunia diraikan setiap 29 Mei sempena memperingati kejayaan pendakian ke puncak tertinggi dunia itu.

Setakat ini, seramai 30 rakyat Malaysia berjaya menawan Everest termasuk pendaki terbaru, Mohd Khafiz Bachok, 47, yang tiba di puncak dalam ekspedisi musim bunga pada 18 Mei lalu.

Hawari yang berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Muzium Pulau Pinang ketika itu berusia 33 tahun, berjaya menawan Everest pada 19 Mei 2023 sebelum dilaporkan hilang keesokan harinya ketika berada di kawasan puncak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button