Tragedi ibadah korban: Lelaki maut ditanduk kerbau di Ulu Tiram
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas ditanduk seekor kerbau ketika sedang melaksanakan ibadah korban di Kampung Tenang, Ulu Tiram, semalam.
Dalam insiden pada pukul 10 pagi itu, mangsa yang berusia 45 tahun cedera ditanduk kerbau tersebut sebelum segera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 11 malam ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan saluran darah (vaskular) pada kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan pada hari sama, seorang lagi lelaki berusia 45 tahun cedera selepas ditanduk kerbau di kawasan Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram.
Kejadian pada pukul 2 petang itu menyebabkan mangsa mengalami patah tulang rusuk kiri selepas kerbau berkenaan tiba-tiba bertindak liar dan menyerangnya.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemakluman mengenai kejadian itu turut disalurkan kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes ini,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 41 saat yang memparkan insiden serangan kerbau sehingga mencederakan mangsa berkenaan tular di media sosial sehingga mendapat perhatian warganet.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








