[VIDEO] Trump ancam Oman berhubung isu kuasai Selat Hormuz
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilihat mengancam untuk menggunakan kekuatan tentera terhadap Oman jika negara itu bekerjasama dengan Iran untuk menguasai Selat Hormuz.
Al Jazeera melaporkan, dalam satu mesyuarat kabinet semalam, Trump diminta mengulas cadangan supaya Oman dan Iran mengawasi perdagangan di laluan air strategik itu, yang mengendalikan lebih 20 peratus daripada trafik minyak global dunia.
“Adakah anda akan menerima perjanjian jangka pendek yang membolehkan Iran dan Oman mengawal selat itu?” tanya wartawan tersebut.
Trump menjawab dengan ancaman yang kelihatan dibuat secara spontan.
“Tiada siapa akan mengawalnya. Ia adalah perairan antarabangsa dan Oman akan bertindak seperti semua orang lain atau kami terpaksa mengebom mereka,” katanya.
Pada mulanya terdapat spekulasi bahawa Trump mungkin tersalah cakap dan menyebut ‘Oman’ sedangkan beliau bermaksud ‘Iran’.
Namun kemudian, Jabatan Negara AS berkongsi kenyataan itu di media sosial bersama transkrip petikan yang jelas merujuk kepada negara Arab tersebut.
Oman yang terkenal dengan pendirian berkecuali, tidak pernah menyatakan hasrat untuk bergabung dengan Iran bagi mengawal Selat Hormuz.
@malaysiatribune Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengancam akan menggunakan tindakan ketenteraan terhadap Oman sekiranya negara itu bekerjasama dengan Iran untuk mengawal Selat Hormuz. #malaysiatribune #beritaluarnegara #videoreelsシ #trendingnewsmalaysia
Malah, Oman dan AS merupakan sekutu rapat dengan hubungan diplomatik yang telah terjalin lebih 200 tahun.
Kedua-dua negara mempunyai pelbagai perjanjian kerjasama, termasuk perkongsian keselamatan, perjanjian perdagangan bebas serta kerjasama sains dan teknologi.
Oman sebelum ini turut bertindak sebagai pengantara penting antara Washington dan Tehran ketika kedua-duanya mencari penyelesaian terhadap perang yang bermula pada 28 Februari, apabila AS dan Israel menyerang Iran.
Ancaman Trump itu menunjukkan peningkatan kebergantungan beliau terhadap kekuatan ketenteraan dalam dasar luarnya, satu strategi yang kadangkala digelar sebagai ‘diplomasi kapal perang’.
Pengarah Advokasi kumpulan hak asasi berpangkalan di AS iaitu DAWN, Raed Jarrar menyifatkan komen Trump sebagai ‘ketua mafia’.
Menurutnya, Piagam PBB melarang ancaman penggunaan kekerasan terhadap mana-mana negara, dan larangan itu mengikat AS sama seperti negara lain.
“Mengancam untuk ‘mengebom’ sebuah negara Arab hanya kerana perairannya berada di laluan minyak yang Washington mahu dibuka semula adalah logik tidak berperikemanusiaan sama yang mencetuskan perang ini pada Februari.
“Ia merupakan isyarat paling jelas bahawa sebarang gencatan senjata yang diusahakan pentadbiran ini hanya akan bertahan sehingga presiden hilang sabar lagi dalam mesyuarat kabinet seterusnya,” kata Jarrar kepada Al Jazeera.
Ancaman Trump itu muncul selepas televisyen negara Iran melaporkan mengenai rangka memorandum persefahaman (MOU) antara kedua-dua negara.
Draf memorandum itu dilaporkan akan memberikan Iran dan Oman kawalan bersama untuk menguruskan selat tersebut. Namun begitu, pentadbiran Trump menyifatkan laporan itu sebagai ‘rekaan sepenuhnya’.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












