MyInvois e-POS bantu PMKS beralih ke sistem digital tanpa kos
USAHA memperkasa pendigitalan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus diperkukuh menerusi pelaksanaan MyInvois e-POS oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).
Platform Point-of-Sale (POS) digital percuma itu diperkenalkan bagi membantu peniaga beralih kepada sistem pengurusan perniagaan yang lebih cekap, mudah dan sistematik selaras dengan perkembangan ekonomi digital semasa.

HASiL berkata, dalam era perniagaan yang semakin berteraskan teknologi dan daya saing, digitalisasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan.
“Pelaksanaan e-Invois yang diperkenalkan sejak tahun 2024 merupakan antara inisiatif HASiL dalam menyokong agenda pendigitalan negara.
“Ia bertujuan membantu golongan peniaga khususnya PMKS mengadaptasi penggunaan teknologi digital dalam operasi harian mereka,” menurut agensi itu.
Tambah HASiL, MyInvois e-POS direka khas bagi mengurangkan beban kos peniaga kecil yang ingin beralih kepada sistem digital.
Platform itu ditawarkan kepada perniagaan yang beroperasi di Malaysia dengan jualan tahunan sehingga RM5 juta dan sesuai digunakan oleh pelbagai sektor termasuk kedai runcit, restoran, kafe, butik pakaian serta kedai serbaneka.
“Ini menjadikan MyInvois e-POS sebagai platform inklusif yang boleh dimanfaatkan secara meluas oleh PMKS,” jelas HASiL.
Selain fungsi pengurusan jualan, perakaunan, inventori dan pelaporan kewangan, sistem tersebut turut membolehkan peniaga mengeluarkan e-Invois secara terus ketika transaksi dijalankan.

Pembeli juga boleh memohon e-Invois selepas transaksi selesai dilakukan.
Menurut HASiL, penggunaan MyInvois e-POS mampu membantu peniaga meninggalkan kaedah manual yang terdedah kepada risiko kesilapan, kehilangan dokumen serta kesukaran pengesanan rekod.
“Rekod kewangan akan menjadi lebih tersusun sekali gus memudahkan penyediaan laporan serta analisis prestasi perniagaan,” katanya.
Sistem itu turut direka bagi memastikan pelaksanaan e-Invois dapat dilakukan tanpa menjejaskan aliran operasi semasa perniagaan.
e-Invois akan dijana secara automatik apabila terdapat permintaan daripada pembeli, manakala transaksi tanpa permintaan akan disatukan sebelum dijana secara automatik pada tarikh ditetapkan.
“Ini membolehkan peniaga terus memberi tumpuan kepada operasi perniagaan tanpa perlu bimbang mengenai proses teknikal,” ujar HASiL.
Bagi memulakan penggunaan MyInvois e-POS, peniaga hanya memerlukan peranti asas seperti telefon pintar atau tablet yang mempunyai capaian internet.

Kemudahan tambahan seperti pencetak resit dan pengimbas kod bar pula boleh digunakan bagi meningkatkan lagi kecekapan operasi.
Maklumat lanjut serta panduan penggunaan boleh diperoleh menerusi laman rasmi HASiL atau di mana-mana Pejabat HASiL Negeri berhampiran.
Secara keseluruhannya, MyInvois e-POS membuka peluang kepada PMKS untuk melangkah ke arah pendigitalan dengan lebih mudah, tersusun dan berkesan, sekali gus membantu mereka kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi digital yang semakin mencabar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















