BERITA SEMASA

Ibadah Korban Perdana TDM: 18 ekor lembu disembelih di Kem Perdana Sungai Besi

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengorbankan sebanyak 18 ekor lembu sempena Majlis Ibadah Korban Perdana 2026 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, daripada jumlah tersebut, tujuh ekor lembu merupakan sumbangan daripada pelbagai pihak dan individu bagi menjayakan ibadah korban berkenaan.

timbalan panglima
Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad. Foto – Ridhwan Malaysia Tribune

Beliau berkata, program tahunan itu bukan sahaja menzahirkan penghayatan terhadap tuntutan ibadah korban sempena Aidiladha, malah menjadi medium memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat gotong-royong dalam kalangan warga tentera.

Beliau menjelaskan bahawa program tahunan sempena Aidiladha itu tidak hanya menghidupkan syiar ibadah korban, tetapi turut menyemarakkan lagi semangat gotong-royong dan keakraban sesama warga tentera.

“Pada hari ini, kami ada sebanyak 11 ekor lembu untuk dikorbankan yang mana tujuh ekor telah disumbangkan oleh pihak lain.

tdm
Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) bekerjasama melapah daging lembu sempena Majlis Ibadah Korban Perdana TDM 2026 di Kem Perdana Sungai Besi. Foto – Ridhwan Malaysia Tribune

“Program ini juga dapat mengeratkan hubungan sesama anggota tanpa mengira lapisan pegawai atau anggota bawahan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis berkenaan di Padang Kawad Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD), Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Mohamad Suria berkata, program itu dihadiri oleh kira-kira 500 pegawai dan anggota, manakala program sama turut dilaksanakan di kem tentera darat di seluruh negara bermula semalam hingga hari ini sempena sambutan Aidiladha.

Beliau berkata, daging korban yang selesai dilapah dan dibungkus akan diagihkan kepada anggota terlibat selain golongan memerlukan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada anggota tentera yang bertugas di sempadan negara dan kawasan pulau, demi menggalas tanggungjawab meskipun tidak dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga tercinta.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada anggota yang berada di lapangan dan teruskan tugas dengan jujur serta ikhlas demi memastikan negara terus aman dan segala ancaman dapat dibendung seawal mungkin,” katanya.

Majlis Ibadah Korban Perdana TDM 2026 bermula seawal 8 pagi dengan ibadah korban sebelum diteruskan dengan aktiviti melapah, pembungkusan dan pengagihan daging korban.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button