Dua rakyat Malaysia terlibat insiden bangunan runtuh di Filipina
KUALA LUMPUR – Dua rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden runtuhan sebuah bangunan sembilan tingkat yang masih dalam pembinaan di Bandar Angeles, utara Manila, Filipina awal pagi semalam.
Kementerian Luar memaklumkan, seorang daripada mangsa disahkan selamat manakala status seorang lagi rakyat Malaysia masih sedang dikenal pasti.
Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Manila kini giat mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa tempatan bagi mengetahui keadaan sebenar di lokasi kejadian.
“Pihak kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warganegara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat,” menurut kenyataan itu semalam.
Kementerian turut memaklumkan usaha sedang dijalankan bagi mengesan dan menghubungi waris kedua-dua individu berkenaan.
“Kementerian Luar akan terus menyalurkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa selepas maklumat sahih diperoleh,” katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan terjejas diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila menerusi talian +63 286628200, nombor kecemasan +63 961 0778113 atau e-mel mwmanila@kln.gov.my.
Dalam pada itu, kementerian turut menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
“Kementerian Luar sedang memantau rapat perkembangan situasi dan operasi menyelamat masih giat dijalankan bagi mengesan individu yang dipercayai masih terperangkap,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas bangunan berkenaan runtuh di Bandar Angeles.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








