BERITA SEMASA

Malaysia tidak akan berdiam diri isu Gaza – Amirudin

SEPANG – Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kekejaman rejim Zionis Israel susulan dakwaan penderaan fizikal dan penculikan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ketika menyertai misi bantuan ke Gaza.

gsf 2.0
GSF 2.0 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Keatua Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta Delegasi GSF 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perjuangan membebaskan Gaza tidak akan terhenti meskipun misi flotila berkenaan telah selesai.

Menurut beliau, Malaysia akan terus memperkukuh tekanan diplomatik selain membawa isu pelanggaran undang-undang antarabangsa ke peringkat dunia.

“Misi Sumud 2.0 telah selesai tetapi suara untuk membebaskan Gaza tidak boleh berhenti.

“Kita tidak akan diam dan tidak akan berhenti. Pasukan peguam sedang mengumpulkan segala maklumat dan dokumen berkaitan pelanggaran undang-undang antarabangsa untuk dibawa ke mahkamah antarabangsa,” katanya ketika berucap selepas ketibaan delegasi misi berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Amirudin berkata, rakyat Malaysia wajar berbangga apabila terdapat puluhan rakyat negara ini daripada pelbagai kaum dan latar belakang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menjayakan misi kemanusiaan ke Gaza.

Katanya, para aktivis bukan sahaja berdepan tekanan psikologi dan ancaman ketakutan, malah turut didakwa menerima serangan fizikal ketika ditahan pihak Israel.

“Bukan hanya tekanan psikologi ataupun ancaman ketakutan yang dilakukan rejim Zionis, tetapi mereka turut menerima serangan fizikal.

“Malaysia tidak akan berdiam diri kerana mereka menyentuh dan mencerca kedaulatan negara kita serta warga kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia akan meneruskan siri penerangan dan jelajah ke seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai penderitaan penduduk Gaza.

“Kita akan turun ke seluruh Malaysia. Aktivis dan hero kita sendiri akan membawa suara hati rakyat Malaysia ke pentas dunia.

“Hari ini terbukti rakyat Malaysia sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi kemanusiaan dan demi membebaskan Gaza daripada kejahatan Zionis yang telah berlaku puluhan tahun,” katanya lagi.

Terdahulu, seramai 28 delegasi GSF 2.0 selamat tiba di KLIA selepas dibebaskan pihak berkuasa Israel susulan misi kemanusiaan ke Gaza yang dipintas di perairan antarabangsa.

Kepulangan mereka disambut Amirudin bersama Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby selain ahli keluarga dan penyokong.

Bagaimanapun, seorang aktivis Malaysia, Razman Mat Ali tidak dapat pulang bersama delegasi lain selepas mengalami kecederaan serius dipercayai akibat diserang tentera Israel ketika ditahan.

Razman dilaporkan mengalami traumatic pneumothorax iaitu paru-paru kiri bocor dan kini masih menerima rawatan di Istanbul, Turkiye selepas menjalani pembedahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button