ISTAF rujuk insiden Thailand tarik diri tinggalkan gelanggang kepada badan disiplin
KUALA LUMPUR – Insiden kontroversi membabitkan pasukan Thailand yang meninggalkan gelanggang ketika aksi final acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 kini dirujuk kepada badan disiplin berkaitan untuk siasatan lanjut.
Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memaklumkan tindakan itu diambil kerana kes berkenaan membabitkan aspek disiplin pertandingan serta kelakuan pegawai dan pemain dalam aksi final bertaraf antarabangsa.
Jelas ISTAF, keputusan untuk merujuk kes berkenaan dibuat selepas meneliti insiden yang berlaku pada peringkat kritikal regu ketiga final antara Malaysia dan Thailand di Stadium Titiwangsa, semalam.
“Kes ini telah dirujuk kepada badan disiplin yang berkaitan untuk semakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, kontroversi tercetus di penghujung perlawanan apabila pengadil mengesan pemain Thailand melakukan kesalahan melepasi garisan tengah gelanggang ketika membuat libasan.
Keputusan itu dibuat selaras dengan Undang-Undang Permainan ISTAF sebelum mata berkenaan diberikan kepada Malaysia.
Thailand kemudian memohon semakan menerusi sistem cabaran, namun pengadil memaklumkan kesalahan garisan tengah tidak termasuk dalam kategori yang boleh dirujuk menerusi prosedur semakan sedia ada.
ISTAF menjelaskan pegawai perlawanan telah memberikan beberapa penjelasan serta nasihat kepada pasukan Thailand berhubung perkara itu, namun pasukan berkenaan tetap enggan meneruskan aksi.
Menurut badan induk itu, Thailand juga gagal kembali ke gelanggang dalam tempoh yang ditetapkan mengikut peraturan pertandingan.
“Susulan itu, berdasarkan Buku Panduan Teknikal ISTAF dan peraturan pertandingan, pengadil mengisytiharkan Thailand kalah tanpa bertanding sebelum kemenangan diberikan kepada Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








