Padah pukul isteri kerana RM30 beli dadah, suami dicekup polis
KUCHING – Tindakan seorang lelaki memukul isterinya selepas wanita itu enggan memberikan wang RM30 untuk membeli dadah membawa padah apabila dia ditahan polis di Krian, Saratok.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, kejadian pada 21 Mei lalu terbongkar selepas mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membuat laporan polis sejurus dipukul suaminya berusia 26 tahun itu.
Menurut beliau, suspek bertindak agresif selepas mangsa enggan memenuhi permintaannya untuk mendapatkan wang membeli dadah.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua bahagian kening serta pipi kiri.
“Bertindak atas laporan diterima, polis menjalankan siasatan sebelum menahan suspek yang tampil menyerah diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga sejak 2020 dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun.
Katanya, suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa enggan memberikan wang diminta sebelum bertindak memukul wanita itu beberapa kali pada bahagian muka dan belakang badan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








