Lelaki khayal dadah letak kaki bawah lori ada 19 rekod jenayah lampau
KAJANG – Seorang lelaki yang berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah dan mempunyai 19 rekod kesalahan lampau mencetuskan kekecohan apabila meletakkan kakinya pada bahagian tayar sebuah lori yang sedang bergerak, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi di kawasan lampu isyarat berhampiran Jalan Pekan Bangi Lama, di sini, itu turut tular di media sosial menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam).
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 43 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut, namun kini menerima rawatan di hospital.
“Pemandu lori terbabit, seorang lelaki berusia 33 tahun, membuat laporan polis pada pukul 4.48 petang hari sama, memaklumkan seorang lelaki tidak dikenali meletakkan kaki pada tayar belakang lori yang dipandunya.
“Selepas berhenti untuk membuat pemeriksaan, pengadu mendapati suspek sudah berada di tepi jalan bersama motosikalnya dan dipercayai dalam keadaan khayal,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, pengadu turut menyimpan rakaman dashcam sebagai bukti sekiranya suspek mendakwa dirinya dilanggar secara sengaja.
“Suspek kini masih berada di bawah pengaruh dadah dan akan ditahan selepas selesai menjalani rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








