HIBURAN

Pak Nil berjaya kumpul lebih RM137,000 bantu kos rawatan anak Amyza

KUALA LUMPUR – Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil berjaya mengumpulkan sumbangan lebih RM137,000 dalam tempoh 50 jam bagi membantu kos rawatan anak kepada pelakon Amyza Aznan yang menghidap kanser tulang.

Aznil, 64, berkata, tabung kilat yang dibuka menerusi akaun bank miliknya sejak Rabu lalu menerima kutipan sebanyak RM137,127.90 hasil sumbangan orang ramai.

Aznil (kanan) membuat kutipan kilat bagi membantu anak Amyza (gambar kanan) yang menghidap kanser tulang.

Menurutnya, kesemua wang tersebut akan disalurkan kepada Amyza bagi menampung kos rawatan anaknya, Adrian Adam.

“Selepas lebih 50 jam tabung kilat Adrian Adam, anak kepada Amyza Aznan yang diuji dengan kanser tulang, wang terkumpul setakat ini adalah RM137,127.90.

“Saya akan pindahkan semua wang ini kepada akaun Amyza,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Dalam masa sama, Aznil turut menjemput Amyza bersama anak keduanya hadir ke sesi siaran langsung audio siar Kita Kita Aje bagi menyerahkan sendiri wang sumbangan berkenaan.

Beliau berkata, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban keluarga berkenaan memandangkan kos rawatan kanser yang tinggi.

Suasana turut bertukar sebak apabila Amyza dilihat mengalirkan air mata sebaik jumlah kutipan diumumkan dalam sesi berkenaan.

Amyza turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil membantu keluarganya.

“Terima kasih kerana memahami keadaan saya. Saya hilang kata-kata,” katanya.

Pada Rabu lalu, Aznil mengumumkan inisiatif kutipan dana itu bagi membantu meringankan beban rakannya dalam industri hiburan.

Sebelum ini, beliau turut menggunakan kaedah sama bagi membantu beberapa selebriti lain termasuk penyanyi Zamani dan Allahyarham Ibnor Riza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button