Bantuan BUDI MADANI diesel RM300 dikekalkan – Akmal Nasrullah
PUTRAJAYA – Kerajaan mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM300 sebulan serta bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah berkenaan bertujuan mengurangkan tekanan kos sara hidup susulan peningkatan harga bahan api global.
“Kerajaan akan meneruskan intervensi bersasar, termasuk mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM300 sebulan serta bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak,” katanya ketika memberikan Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Akmal Nasrullah turut memberitahu, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga bersetuju supaya cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) disusuli selanjutnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Jelas beliau, penambahbaikan itu melibatkan penyelarasan kuota subsidi diesel secara seimbang bagi memperkukuh kawalan ketirisan tanpa menjejasan operasi perniagaan serta rantaian bekalan.
“Berdasarkan data MySubsidi setakat 9 April lalu, lebih 398,000 kenderaan berdaftar di bawah SKDS. Jumlah ini melibatkan lebih 375,500 kenderaan pengangkutan darat barangan dan sekitar 23,000 kenderaan pengangkutan awam,” katanya.
Dalam taklimat sama, Akmal Nasrullah turut memaklumkan bahawa Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar, mula disalurkan hari ini.
Akmal Nasrullah berkata inisiatif itu penting, memandangkan kos bahan api dan operasi pertanian boleh memberi kesan terus kepada rantaian bekalan makanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








