Isu hina agama: SEKPUR desak tindakan tegas tanpa kompromi
PUTRAJAYA – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) hari ini menyerahkan memorandum berhubung penularan fitnah serta naratif melampau di media social terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Pengerusi SEKPUR, Mustapa Mansor berkata, langkah itu diambil berikutan peningkatan kes penghinaan agama, manipulasi fakta sejarah Islam dan penyebaran naratif kebencian.
“Budaya negatif itu yang menyentuh kesucian Islam didakwa melibatkan sebahagian pemimpin politik pembangkang, cybertrooper serta individu tertentu di platform media sosial.
“Tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menggugat keharmonian negara serta mencemarkan institusi ulama dan para sahabat Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama beberapa pimpinan badan bukan kerajaan (NGO) itu menyerahkan Memorandum Peringatan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang diwakili pegawainya di lobi Kompleks Islam, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Biro Politik Sekretariat SEKPUR, Shahbudin Embon dan Setiausaha Agong Sekpur, Mejar (B) Razali Zakaria.
Mustapa juga menggesa Kerajaan untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah, hasutan dan kebencian agama mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Antara yang dicadangkan termasuk penggunaan prinsip 3R (Race, Religion and Royalty) di bawah Akta Hasutan, tindakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta undang-undang berkaitan keselamatan dan keharmonian awam,” katanya.
Selain itu, katanya, memorandum tersebut turut menuntut supaya kandungan berunsur fitnah, penghinaan agama dan tuduhan palsu di media sosial dipadam serta-merta.
“Kerajaan perlu memantau secara berterusan media sosial terhadap kandungan tersebut yang menyentuh kesucian Islam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















