Anggota polis didakwa dalang rangkaian dadah Langkawi ditukar serta-merta – KP Kedah
ALOR SETAR – Seorang anggota polis yang didakwa dalang rangkaian pengedaran dadah di sekitar Langkawi sudah ditukar serta-merta atas kepentingan awam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pertukaran anggota dikenali sebagai ‘Mr. A’ itu bukan bertujuan melindungi anggota terbabit namun sebaliknya kerana siasatan dan tindakan lanjut masih diteruskan.
jelas beliau, siasatan dan tindakan tetap berjalan dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam penagihan mahupun pengedaran dadah.
“Kita akan ambil tindakan walaupun pegawai dan anggota dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri, ” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Adzli berkata, siasatan kes berkaitan narkotik memerlukan penelitian terperinci termasuk bukti dan saksi yang mempunyai kredibiliti sebelum tindakan lanjut dapat diambil.
Dalam perkembangan sama, Adzli berkata polis sudah mengambil tindakan terhadap seorang individu dikenali sebagai ‘Bagok’ berusia 47 tahun yang turut dikaitkan dalam carta tular berhubung isu berkenaan.
Katanya, lelaki itu sudah ditahan sebanyak dua kali tahun ini dan terbaharu pada 16 Mei lepas.
Menurutnya, Bagok berasal dari Kampung Kelibung, Langkawi, Kedah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penularan isu berkaitan kegiatan dadah ‘Pablo Escobar 2.0’ di Langkawi.
Adzli kemudiannya mendedahkan, seramai 54 pegawai dan anggota polis di Kedah ditahan kerana terbabit dalam penagihan dadah sejak 2023 hingga April lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 38 individu sudah dituduh di mahkamah dan digantung tugas, manakala tiga lagi masih dalam tindakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















