LUAR NEGARA

Gunung Dukono kembali meletus, Indonesia keluar amaran keselamatan

JAKARTA – Gunung Dukono di wilayah Maluku Utara, Indonesia kembali meletus semalam dengan semburan abu volkanik menjulang setinggi 5,000 meter dari puncaknya.

Menurut Pusat Volkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia, letusan itu menghasilkan kepulan abu tebal berwarna kelabu yang dapat dilihat jelas dari kawasan sekitar gunung berapi berkenaan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, gunung berapi setinggi 1,087m itu kini berada pada tahap amaran kedua tertinggi susulan peningkatan aktiviti volkanik yang berterusan.

Pihak berkuasa turut mengarahkan penduduk dan pelawat supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius empat kilometer dari kawah gunung berapi bagi mengelakkan risiko terkena lontaran material dan abu panas.

BACA JUGA:

Letusan Gunung Dukono: Tiga maut, 20 pendaki masih hilang

Letusan Gunung Dukono: Pasukan penyelamat temukan jasad pendaki hilang

Letusan Gunung Dukono: Mayat dua pendaki Singapura berpelukan bawah runtuhan batu

Selain itu, orang ramai dinasihatkan memakai topeng muka bagi mengurangkan kesan gangguan pernafasan akibat abu volkanik yang tersebar di udara.

Terdahulu, Gunung Dukono meletus pada 8 Mei lalu yang menyebabkan sekumpulan pendaki asing maut dalam insiden berkenaan.

Gunung Dukono merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan telah menunjukkan aktiviti letusan secara berterusan sejak tahun 1933.

Ia terletak di Pulau Halmahera dan kerap memuntahkan abu dan asap tebal, menyebabkan pihak berkuasa sentiasa memantau pergerakannya kerana berpotensi mengganggu penerbangan serta keselamatan penduduk berhampiran.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik yang mempunyai ratusan gunung berapi aktif dan sering mengalami gempa bumi serta letusan gunung berapi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button