Letusan Gunung Dukono: Mayat dua pendaki Singapura berpelukan bawah runtuhan batu
JAKARTA – Dua warga Singapura yang dilaporkan hilang semasa letusan Gunung Dukono disahkan maut apabila mayat mereka ditemukan tertimbus di bawah runtuhan batu berhampiran kawah gunung berapi itu semalam.
Lebih menyayat hati, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan ketika pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berbahaya berkenaan.
Ketua agensi penyelamat tempatan, Iwan Ramdani berkata, mayat mangsa berjaya dibawa keluar selepas operasi sukar yang berdepan cuaca buruk, hujan lebat serta aktiviti letusan gunung berapi yang masih berterusan.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke hospital tempatan untuk proses bedah siasat.
“Operasi pemindahan sangat mencabar berikutan keadaan muka bumi ekstrem selain risiko letusan berterusan di sekitar kawasan kawah,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa.
Seramai 150 anggota penyelamat bersama dua dron termal digerakkan sejak pagi Ahad bagi menjejaki mangsa di kawasan sekitar 100 hingga 150 meter dari bibir kawah.
Gunung berapi di wilayah Maluku Utara itu mula meletus sejak Jumaat lalu dengan memuntahkan abu setinggi 10 kilometer ke udara.
Kelmarin, pasukan penyelamat mengesahkan seorang lagi pendaki warga Indonesia ditemukan maut dalam tragedi tersebut.
Dalam kejadian itu, seramai 17 individu berjaya diselamatkan termasuk tujuh warga Singapura dan 10 warga Indonesia.
Agensi Vulkanologi Indonesia melaporkan sekurang-kurangnya empat letusan direkodkan setakat semalam dengan satu daripadanya memuntahkan abu setinggi 1.3 kilometer.
Pihak berkuasa turut mengekalkan tahap amaran ketiga tertinggi bagi Gunung Dukono serta melarang sebarang aktiviti dalam radius empat kilometer dari kawah gunung berapi tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















