Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi – Dr Zambry
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, kerajaan tidak akan mengorbankan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan demi memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu.
Beliau berkata, kenyataan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong bertarikh 15 Mei lalu yang mendakwa kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) adalah tersasar serta tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kerajaan ketika ini mengambil pendekatan seimbang, inklusif dan bertanggungjawab dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi tanpa menjejaskan asas dasar pendidikan negara.
“Dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan bukan sekadar soal akademik semata-mata, tetapi turut melibatkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan pihak tertentu.
“Sebaliknya, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini,” katanya.
Mengulas isu kemasukan pemegang UEC ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beliau berkata langkah kerajaan membenarkan calon UEC memohon kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina dengan syarat memperoleh kepujian Bahasa Melayu serta lulus Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah suatu bentuk ketidakadilan.
Katanya, pendekatan itu merupakan langkah inklusif dan bertanggungjawab yang masih menghormati kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Ketegasan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai asas kenegaraan tidak boleh dikompromi.
“Prinsip ini mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak,” katanya.
Menurut beliau, isu lebih besar yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana negara membina titik temu nasional dalam masyarakat majmuk.
Tambahnya, pendidikan tidak seharusnya dilihat hanya daripada sudut tuntutan kelompok tertentu atau identiti sempit semata-mata, sebaliknya perlu menjadi asas yang menghubungkan rakyat melalui Bahasa Melayu, pemahaman sejarah negara dan semangat kenegaraan bersama.
Beliau turut menegaskan universiti awam merupakan institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara dan kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem serta kepentingan jangka panjang negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








