Nabila Huda luah hasrat rasai kasih seorang bapa, tersentuh lihat hubungan ayah dan anak di media sosial
KUALA LUMPUR – Aktres Nabila Huda meluahkan perasaan tersentuh melihat perkongsian di media sosial membabitkan hubungan mesra antara selebriti lelaki dan anak-anak mereka sehingga menimbulkan keinginan untuk merasai kasih sayang seorang bapa.
Nabila, 42, berkata, perkongsian tersebut sering membuat hatinya terusik apabila melihat kemesraan, pelukan dan hubungan kasih sayang yang ditunjukkan dalam kalangan figura bapa dan anak di platform seperti Instagram.
“Kadang-kadang bila buka Instagram, ternampak penyanyi atau pelakon lelaki yang sudah jadi ayah, terutama artis senior yang saya ikuti.
“Melihat bagaimana manisnya hubungan mereka dengan anak, pelukan dan kasih sayang, tiba-tiba kita pula tersenyum sendiri,” katanya menerusi hantaran di Threads semalam.
Menurut pelakon itu, keadaan tersebut turut membangkitkan perasaan ingin merasai sendiri pengalaman menjadi seorang anak kepada seorang bapa yang penyayang dan penuh kasih sayang.
“Adakalanya rasa lucu melihat seseorang disayangi dengan cara yang sepatutnya. Mampu menyentuh hati saya sehingga terlintas dalam hati, boleh tak awak jadi ayah saya juga?” katanya.
Sebelum ini, hubungan Nabila dengan bapanya yang juga penyanyi legenda rock tanah air, Amy Search atau Datuk Suhaimi Abdul Rahman dilaporkan kembali tegang sejak tahun lalu.
Difahamkan, konflik keluarga berkenaan dikatakan berpunca daripada gangguan pihak ketiga, namun usaha untuk memperbaiki hubungan masih belum menemui jalan penyelesaian.
Nabila sebelum ini dilaporkan sudah berusaha untuk berdamai, namun keadaan masih belum pulih sepenuhnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















