PAS terima penjelasan Nik Muhammad Zawawi
KUALA LUMPUR – Kepimpinan PAS menerima penjelasan serta permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan ceramahnya yang menimbulkan kontroversi kerana didakwa menyentuh peribadi sahabat Nabi Muhammad SAW di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjelasan tersebut diharap mampu menjernihkan keadaan serta menamatkan polemik yang timbul sebelum ini, lapor portal MG.
“Kepimpinan parti menerima penjelasan dan permohonan maaf daripada Datuk Dr. Nik Zawawi Salleh atas kekhilafan yang berlaku ekoran ucapan beliau dalam ceramah di Kuala Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dizahirkan Tuan Ibrahim beberapa jam selepas Nik Muhammad Zawawi membuat permohonan maaf secara terbuka.
Tuan Ibrahim menambah, sikap memohon maaf atas kesilapan adalah akhlak terpuji yang perlu dihayati semua pihak, selari dengan tuntutan Islam.
Sehubungan itu, beliau berharap isu berkenaan dijadikan iktibar untuk memperkasakan pembinaan ummah serta mengukuhkan perjuangan dalam mendepani cabaran semasa.
“Dengan penjelasan dan permohonan maaf tersebut, diharapkan perkara ini menjadi pengajaran serta panduan kepada masyarakat untuk mendalami ilmu pengetahuan, meneliti panduan para ulama terdahulu dalam memahami sesuatu peristiwa, serta membezakan antara kitab-kitab sirah, hadis dan athar para sahabat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







