BERITA SEMASA

Putrajaya guna saluran diplomatik isu permit peluru berpandu Norway, timbang ambil tindakan perundangan

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang berusaha menerusi saluran diplomatik dan mempertimbang tindakan perundangan susulan tindakan kerajaan Norway yang tidak meluluskan permit eksport bagi perolehan satu sistem peluru berpandu pada saat akhir.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi rakan sejawatnya dari Norway, Jonas Gahr Støre, semalam dan menzahirkan rasa kesal dengan tindakan itu yang menyebabkan syarikat Norway, Kongsberg KDA tidak dapat meneruskan pembekalan seperti dipersetujui.

“Usaha melalui saluran diplomatik sedang dilaksanakan, selain kerajaan Malaysia turut mempertimbang tindakan susulan yang sewajarnya dari sudut perundangan.

“Perancangan dan pelaksanaan pelan pertahanan negara adalah kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” katanya dalam sidang media mingguan, di sini hari ini.

Fahmi berkata, kontrak yang dimeterai sejak 2018 itu dilaksanakan tanpa sebarang isu, selain semua aspek pembayaran kontrak dibuat mengikut jadual.

Kerajaan Malaysia sama sekali tidak dapat menerima alasan yang dikemukakan kerajaan Norway pada waktu ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, kerajaan Norway menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan Naval Strike Missile (NSM) itu dimeterai TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button