BERITA SEMASA

Pemandu lori maut, motosikal rempuh Myvi

CHUKAI – Seorang pemandu lori maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah Perodua Myvi di Kilometer 158, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Bandar Chukai, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa, Zulkarnain Rawi, 51, yang menunggang motosikal jenis KTM 250 Duke disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Chendor Baru, Kuantan, Pahang ketika itu dalam perjalanan dari bandar Chukai menuju ke Chendor Baru.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa merempuh sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki warga emas yang keluar dari arah Pusat Dialisis Buah Pinggang menuju Bandar Chukai.

“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat di lokasi kejadian, mangsa dipercayai meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat hijau sedang berkelip.

“Dalam masa sama, kereta Perodua Myvi terbabit keluar dari simpang dan mangsa gagal mengelak sebelum melanggar kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

“Pemandu kereta berusia 78 tahun yang mengalami kecederaan ringan turut menerima rawatan di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button