Tiga ditahan bantu siasatan kes tembak di Skudai
JOHOR BAHRU – Polis menahan tiga individu bagi memmbantu siasatan kes tembak di hadapan sebuah premis pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai yang mengorbankan seorang lelaki, malam kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kesemua ditahan merupakan warga tempatan terdiri daripada seorang perempuan dan dua lelaki masing-masing berusia 26 hingga 29 tahun.
Beliau memberitahu, kesemua mereka ditahan semalam di kawasan Johor Bahru.
“Salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan tiada rampasan senjata bersama penahanan ketiga suspek tersebut.
“Setakat ini kita juga masih tidak dapat mengesahkan sama ada kejadian berlaku melibatkan kongsi gelap atau tidak,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Beliau menambah, siasatan awal mendapati mangsa yang terbunuh masih bujang dan bekerja di sebuah gudang di Singapura selain tidak mempunyai rekod jenayah, manakala hubungannya dengan seorang lagi mangsa hanya kenalan.
Laporan media semalam menyebut, seorang lelaki dalam lingkungan 27 tahun maut manakala seorang lagi cedera selepas ditembak dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam kelmarin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










