JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket tipu BUDI95: Polis tahan juruwang stesen minyak

SIK – Seorang warga Bangladesh yang bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak di Kupang, Baling, ditahan selepas disyaki terbabit dalam sindiket penipuan subsidi BUDI95 yang melibatkan penggunaan identiti individu lain.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, tangkapan dibuat semalam, susulan laporan polis yang diterima daripada seorang peniaga lelaki berusia 57 tahun dari Selangor.

Beliau memberitahu, mangsa menyedari berlaku pengurangan kuota subsidi RON95 miliknya, selepas membuat semakan melalui aplikasi BUDI95, walaupun tidak melakukan pengisian minyak di lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, sebanyak enam transaksi pengisian minyak menggunakan nombor kad pengenalan mangsa direkodkan antara 18 Mac hingga 8 April 2026 di sebuah stesen minyak di Padang Lengkuas, Kupang, Baling.

“Jumlah keseluruhan penggunaan mencecah 309.03 liter dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,242.33,” katanya, hari ini.

Brandon memberitahu, pihaknya kini sedang memburu seorang individu warga tempatan bagi membantu siasatan.

Suspek lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun itu direman selama empat hari sehingga Khamis ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Polis memandang serius kes penyalahgunaan subsidi dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan itu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button